Rabu, 31 Disember 2008

Welcome 2009 1430 Hijrah


Lebih kurang 2 jam lagi jam di Dataran Merdeka akan berdenting menandakan tepatnya jam 12.00 malam iaitu permulaan baru tahun 2009. Sebagai umat Islam kita sebenarnya telahpun menyambut tahun baru 1430 hijrah 2 hari yang lepas. Malangnya kita lebih menghayati tahun Masihi daripada tahun Hijrah. Mungkin kerana kehidupan seharian kita sememangnya mematuhi kalendar Masihi. Kalendar Hijrah hanya di rujuk apabila adanya sambutan yang berkaitan dengan agama Islam.

Apabila tiba tahun baru apa yang terlintas di fikiran tentulah azam baru. Entahlah, jika cikgu cuba ingat semula, apakah azam cikgu sebelum ini sudah terlaksana atau belum. Yang pasti tiada banyak perubahan dari segi peningkatan hidup kecuali menerima seorang lagi ahli keluarga yang baru. Walaubagaimanapun, masih ada juga impak tersembunyi yang tidak boleh cikgu coretkan diruangan terbuka ini.

Erm..apa agaknya azam untuk tahun baru ini? Di kaca tv sibuk tentang perlaksanaan pemakaian tali pinggang belakang, dan kempen berhenti merokok. Ini tidak memberi kesan langsung kepada cikgu kerana cikgu sememangnya tidak merokok dan tidak menjadi penumpang belakang. Jadi apa yang cikgu fikirkan ialah untuk lebih fokus dan matang melakukan sesuatu kerja. Agak abstrak juga nampaknya. Tidak mengapalah, cikgu akan cuba memperincikan dengan lebih mendalam selepas tahun baru nanti (sebenarnya masih tiada sebarang azam pun).

Apa-apapun cikgu mengucapkan selamat tahun baru kepada semua dan semoga kita terus mara dan maju dalam hidup serta diberkati Allah S.W.T hendaknya. Aminnn...

Selasa, 30 Disember 2008

Punch card

Bahang 2009 semakin terasa. Guru-guru mula kembali menjenguk ke sekolah. Kesibukan awal sesi persekolahan adalah sesuatu yang rutin saban tahun. Cuma terpulang bagaimana guru tersebut mengadakan persediaan awal bagi mengelakkan timbunan kerja nanti.

Bagi cikgu, persediaan adalah lebih kemas berbanding sesi lepas. Jika sesi lepas cikgu terkial-kial di sekolah baru, kini cikgu lebih agak bersedia menanti sesi baru. Siang tadi cikgu dan rakan-rakan telah menghadiri mesyuarat guru pertama sesi ini. Beberapa pertukaran yang dibuat agak mengejutkan, di samping teguran pedas bagi sesiapa yang telah `makan cilinya`. Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana tidak dapat tidak, dalam setandan pisang tidak semuanya elok. Bagi cikgu niat penegur itu adalah baik dan jitu serta tidak bersifat peribadi. Malah teguran yang di buat adalah dalam selembut-lembut bahasa dan cikgu pun tidak terkecuali menerima tempiasnya. Padan muka cikgu...

Namun agak mengecewakan sistem punch card terpaksa di tunda penggunaannya atas sebab teknikal. Cikgu teringat kembali sewaktu zaman bekerja di sebuah kilang. Setiap pagi kami semua beratur tidak kira staff atau operator untuk punch card. Walaupun datang awal, kadang kala punch card tetap merah kerana beratur panjang. Bagi mengatasi masalah ini, sistem punch card di perbanyakkan. Namun kadang kala punch card tetap merah kerana hanya satu yang elok dalam satu-satu masa. Rasanya agak mudah bagi para pekerja mensabotaj mesin punch card tersebut. Rentetan dari itu, surat tunjuk sebab dikeluarkan bagi sesiapa yang 3 kali datang lambat. Malah jika berterusan, gaji akan di potong.

Senario ini tidak berlaku di sekolah cikgu. Permasaalahan masa agak kurang di titikberatkan. Cikgu juga telah terikut dengan budaya baru ini. Agak berbeza sebenarnya jika dibandingkan dengan budaya di kilang dahulu. Dahulu, cikgu datang awal, dan pulang lewat malam. Kini, cikgu datang ngam-ngam, tetapi pulang awal. Cuma kadangkala cikgu melewatkan balik walaupun tiada sebarang kerja kerana masih terbiasa dengan keadaan dahulu.

Apa-apapun azam cikgu tahun ini adalah lebih menepati dan menghargai masa kerana umur sudah meningkat dan masa subsidi pula semakin kurang yang diperuntukan oleh DIA. Wallahuallam...

Sabtu, 20 Disember 2008

Punching bag


Sepanjang percutian ini sebenarnya cikgu telah menyimpan hasrat untuk memiliki beberapa barangan. Duit yang ada tidaklah seberapa tetapi apa gunanya bekerja jika tidak boleh memiliki apa yang kita inginkan. Tidak dapat yang mahal, cukuplah sekadar ada.

Kebelakangan ini cikgu menghadapi masalah dalam mengawal temper. Kadang-kala cikgu akan jadi terlalu marah sehingga terpaksa menjerit dan menumbuk dinding untuk meredakannya. Cikgu masih lagi mengkaji faktor ianya menjadi sebegitu. Apakah faktor yang menyebabkannya dan bagaimana pula solusinya. Cuma apa yang cikgu rasakan ialah peranan dan tekanan cikgu semakin bertambah berbanding dahulu. Jika dahulu cikgu tidaklah terlalu mendesak diri untuk berbuat sesuatu, cukuplah sekadar makan pakai sendiri. Berbeza dengan sekarang bilamana cikgu terpaksa mendesak diri untuk melakukan yang terbaik disamping faktor persekitaran, anak-anak dan orang sekeliling.

Jadi memandangkan semasa bercuti ini cikgu berkesempatan makan angin, cikgu meninjau-ninjau untuk memiliki sebuah beg tumbuk. Harga yang cikgu tetapkan untuk memilikinya ialah RM300 dan ke bawah, Sekiranya ianya lebih mahal daripada itu, maka dengan sendirinya hasrat ini terbatal. Sememangnya sudah lama cikgu mengimpikan sebuah beg tumbuk. Bukan atas alasan lain, cuma sekadar mengeluarkan peluh disamping meredakan tekanan. Cikgu pernah terlihat di sebuah sekolah menengah dimana sebuah beg tumbuk disediakan bagi mengurangkan kes disiplin dan vandalisme. Apa yang menarik ialah beg tumbuk tersebut digunakan sepanjang masa bukan sahaja oleh murid lelaki, malahan cikgu lelaki juga. Pada pendapat cikgu ini merupakan langkah yang bijak diambil oleh pentadbiran sekolah itu.

Kini cikgu semakin hampir memiliki sebuah beg tumbuk yang berharga RM200. Cuma ketika ini cikgu terpaksa menerangkan motif di sebalik memiliki beg tumbuk kepada beberapa individu terutama isteri kesayangan. Apa-apapun doakan cikgu berjaya mengatasi masalah yang dihadapi ketika ini. Wallahuallam...

Isnin, 15 Disember 2008

Tipper

Pagi ini bagai ada perasaan bangun pagi yang menyenangkan. Mungkin kerana ada sesuatu yang baru dan perlu diberi perhatian pada hari ini. Dan di tambah pula dengan berita baik penurunan harga minyak di Malaysia.

Samada kebetulan atau tidak, cikgu baru sahaja membeli sebuah lori 'tipper' 5 tan. Semalam baru mendapat panggilan bahawa lori tersebut sudah siap dipasang dan boleh diambil di gudang. Serentak dengan itu penurunan harga minyak diumumkan. Bagi cikgu ini seolah-olah restu dari Illahi untuk memulakan perniagaan baru bersama keluarga cikgu. Baiklah, lupakan tentang lori dan tipper.

Cikgu ingin sentuh tentang penurunan harga minyak semalam, yang mana penurunan ini lebih rendah dari masa sebelum ia dinaikkan. Cuba bayangkan, apa yang terjadi pada PRU12 jika harga minyak tidak dinaikkan mendadak sebelum ini. Cikgu yakin, 80% kehilangan undi adalah disebabkan tindakan Pak Lah mengecewakan rakyat dengan manaikkan harga minyak dengan melampau. Pak Lah yang kemudiannya kelihatan yakin akan menang besar juga menjadi faktor kekalahan kerana keangkuhan dan sikap 'over confident' nya itu. Agak mengecewakan cikgu juga sebenarnya mempunyai ketua kerajaan yang langsung tidak mampu berfikir jauh ke hadapan sedangkan jika harga minyak dinaikkan sedikit atau tidak dinaikkan pun kerajaan tidak akan kerugian sebesar ini. Apalah salah kiranya wang yang diperuntukan untuk rebet, subsidi-subsidi yang diwujudkan selepas itu digunakan sementara untuk menampung kenaikan dan sementelah itu harga minyak tidak perlu diturunkan serendah ini. Malah ia akan menguntungkan kerajaan semula.

'What has happen already happen', jadikan ini sebagai pengajaran di masa depan dengan lebih mampu menjenguk kehadapan mencongak kebarangkalian. Apapun doakan cikgu berjaya dalam bidang baru yang cikgu usahakan.

Turun lagi...

Setelah sekian lama menyepi diri, kini cikgumoden kembali ber'blogging'. Bukan apa, cuma tak berkesempatan untuk meng'online'kan diri memandangkan sentiasa bergerak dari satu rumah ke satu rumah yang lain. Dari Segamat ke Pahang ke Selangor ke Perak ke Kedah ke Perlis, kemudian turun semula satu demi satu sampaila ke Segamat semula.

Sebenarnya ada juga kesempatan online, tetapi reception lemah dan sangat lambat. Hanya mampu setakat membuka email yang itupun memakan masa berjam-jam. Walaubagaimanapun tidak mengapalah, kerana apa yang ingin diblogkan sudah sarat tersimpan di batu jemala patik hingga ingin melimpah-limpah hendaknya.

Tetapi untuk malam ini biarlah sekadar kita bergembira kerana harga minyak TURUN lagi, yahoo!err..syukur, alhamdulillah..