Jumaat, 15 Mei 2009

Ambang Sambutan Hari Guru 2009

Sejak 2 minggu yang lepas sekolah cikgu telah mula membuat persiapan untuk merayakan Sambutan Hari Guru 2009 peringkat sekolah. Murid-murid telah mula melakukan latihan untuk persembahan manakala guru-guru mula merangka aktiviti untuk dipertandingkan. Banyak acara yang biasa diadakan pada tahun sebelum ini terpaksa diubah dengan aktiviti yang lain memandangkan padang sekolah yang ditutup untuk memberi laluan kepada pembinaan 2 blok bangunan baru. Jadi secara tidak langsung cikgu hanya terlibat dengan pengelolaan pertandingan boling dan persiapan dewan.
Berbanding tahun lepas cikgu terlibat mengelolakan pertandingan futsal, bola jaring dan permainan boling. Ada juga dalam perancangan cikgu untuk mengelolakan perlawanan persahabatan badminton dan bola tampar dengan cikgu dari sekolah berdekatan. Namun kesibukan guru-guru tersebut menyebabkan perancangan bersama ini terpaksa ditunda untuk sementara waktu.
Cikgu mula disapa oleh murid-murid yang bertanyakan hadiah yang cikgu inginkan sempena hari guru nanti. Risau cikgu melihatkan kesungguhan mereka untuk memberi hadiah kepada guru kesayangan masing-masing. Cikgu hanya mampu berpesan agar mereka tidak mendesak ibu atau bapa masing-masing membeli hadiah. Cukuplah sekadar kad ucapan buatan sendiri ataupun ucapan ringkas ikhlas sahaja. Ini kerana rata-rata murid di sekolah cikgu datangnya dari keluarga yang sederhana.
Jadi bersempena dengan hari guru yang bakal tiba, cikgu mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua pendidik dan tidak dilupakan guru-guru yang pernah mendidik cikgu sejak dari TADIKA, SK, St John Ints, ASBKL, MRSM,KMK, USM dan MPRM. Terima kasih cikgu...

Sabtu, 9 Mei 2009

Istimewa Sempena Hari Ibu


Jasa dan pengorbanan ibu memang tidak terbatas dan tiada galang gantinya. Setelah dewasa dan berkeluarga ku makin menyedari akan hakikat ini. Melihat penat jerih isteri mengurus dan mendidik anak, terfikir olehku akan kepayahan emakku mengurus dan membesarkam kami enam beradik.
Jika dibandingkan kini dan dahulu memang terlalu ketara perbezaannya. Sewaktu kehidupanku di felda, seingat aku masih tiada bekalan air atau elektrik pada awalnya. Emak perlu mencuci pakaian di sungai ataupun menggunakan air hujan yang di tadah. Itulah juga bekalan air yang diminum oleh kami sekeluarga. Memang indah mengenangkan saat ketika cuti sekolah, emak dan jiran-jiran turun ke sungai bersama-sama mencuci pakaian dan kesempatan ini kami manfaatkan untuk bermandi manda beramai-ramai. Masih terbayang di mindaku bagaimana keindahan sungai itu dan di mana letaknya pangkin yang dibina untuk membasuh kain. Semasa perjalanan pulang berjalan kaki, emak mengambil peluang memetik pucuk-pucuk ulam yang tumbuh meliar sepanjang jalan sebagai hidangan di tengah hari.
Abah pulang sebentar di tengahhari dengan membawa ikan yang dibeli di pasar. Jika kurang berduit, abah hanya membeli telur ayam untuk dimakan kami sekeluarga. Mungkin menyedari anak-anaknya memerlukan zat yang mencukupi untuk tumbesaran, abah memelihara bermacam-macam ternakan, dari burung merpati, ayam daging, ayam hutan, puyuh, arnab dan pernah juga memelihara kambing. Jadi seminggu atau 2 minggu sekali dapatlah kami merasa makan mewah hasil dari sembelihan atau penjualan ternakan abah itu.
Setiap hari emak membekalkan aku dengan bekalan nasi dan air untuk di makan di sekolah. Emak juga membekalkan aku dengan belanja 50 sen untuk sekolah pagi dan 50 sen lagi untuk sekolah petang. Nasi yang emak bekalkan memang sedap. Gembira di saat aku bersama rakan menjamu selera di bawah pokok di tepi padang setiap kali waktu rehat. Cuma air sirap yang dibekalkan emak terlalu banyak dan sering saja aku sedekahkan kepada rakan-rakan yang memerlukan. Jika tiada nasi, emak tetap membekalkan aku dengan jemput-jemput terutama jemput-jemput pisang kegemaran aku.
Aku merupakan seorang pengawas di sekolahku. Namun aku sering sahaja datang lambat ke sekolah kerana abah lambat pulang setelah keluar awal pagi untuk menghantarku ke sekolah. Kadang-kala jika terlalu lambat, emak membawaku ke jalan besar dan menahan sesiapa sahaja orang yang lalu untuk menumpangkan aku ke sekolah. Perasaan menumpang orang tidaklah seseronok menaiki motor biru suzuki buruk abahku itu. Emak juga sering manyuruh aku berjalan seorang diri dan diperhatikan sehingga hilang dari pandangan, kerana ibu perlu segera naik ke rumah untuk melihat adik. Tetapi amat jarang aku berjalan kaki hingga ke sekolah kerana pasti ada orang yang akan menumpangkan aku. Pernah berlaku peristiwa sewaktu aku di darjah 4, bilamana emak cuba-cuba membawa motor untuk menghantarku ke sekolah kerana abah ditugaskan ke luar kawasan. Namun adik-adikku enggan tinggal di rumah dan menangis untuk ikut. Maka, berempatlah kami menaiki motor buruk abah ke sekolah. Tetapi sewaktu menaiki bukit, emak tidak sempat menukar gear dan motor tersebut telah berundur semula lalu terperosok ke dalam belukar. Akulah yang mula-mula terperosok, tetapi motor tidak tumbang kerana emak sedaya upaya menahan dengan hujung kakinya (kaki emak tidak sampai memijak tanah) agar motor tidak tumbang menghumban anak-anaknya. Emak terjerit-jerit menyuruh aku turun dan menahan orang yang lalu lalang untuk membantu. Nasib baik ada seorang pakcik yang baru tiba terus manahan motor dan menurunkan adik-adikku sebelum menarik motor keluar. Dan pakcik itulah juga ku bonceng untuk ke sekolah pada hari itu. Emak masih boleh tersenyum dan tetap menyuruhku ke sekolah dengan baju yang agak kotor dan calar balar. Kasihan emak...
Ini baru setitis dari selautan pengorbanan emak yang pernah dicurahkan. Setiap hari ibu berkorban sehinggalah kini. Jasa ibu memang tidak terbanding. Jika sewaktu kecil aku berhajatkan untuk memberi ibu 10ribu untuk membalas jasanya, kini 10 ribu itu amat-amat kecil dari nilai pengorbanan ibu.

Sempena Hari Ibu pada hari ini, dan jika emak membuka blog ini, Ham nak mengucapkan Selamat Hari Ibu, walaupun tidak mengungkap dengan kata-kata namun emak tetap insan nombor satu di dalam hati. Semoga emak ceria di samping abah dengan adik-adik semuanya telah berjaya melanjutkan pelajaran dan bekerja. Salam sayang dari anakmu dan cucu-cucumu.

Jumaat, 8 Mei 2009

SKKJ Bowlers




Congratulations to all Segamat Bowlers for the outstanding performance in MSSM Johore Tenpin Bowling Tournament 2009.

Jumaat, 1 Mei 2009

I`m home..

Selamat bercuti kepada semua. Pasti ada yang sudah travel separuh semenanjung dan mungkin ada juga yang belum meninggalkan katil masing-masing. Bagi cikgu sekeluarga, kesempatan yang ada ini cikgu guna sebaik mungkin untuk pulang ke kampung. Walaupun kampung cikgu tidak sejauh mana, hanya kira-kira 2 jam perjalanan, namun kesempitan ruang dan waktu menyebabkan kampung yang sedekat itu pun jarang dijenguk. Sebagaimana cikgu pernah ulas sebelum ini, kerinduan atuk dan nenek kepada the only grandson and grandaughter nya tidak boleh di tahan-tahan. Hampir berbelas kali telefon berbunyi bertanyakan bila akan sampai. Dan akhirnya kami sekeluarga selamat tiba jam 8 malam tadi.