Isnin, 22 Jun 2009

Sehari dalam rutin

Minggu kedua di sekolah agak mengujakan. Pelbagai idea di kepala dengan dorongan menghabiskan silibus Sains tahun 6 untuk terus menyiapkan pelajar menghadapi UPSR yang tidak lama lagi. Hari indah ini dilalui dengan semangat positif walaupun mengetahui pasti akan muncul peristiwa atau isu yang mendatang.
Selepas perhimpunan, aku terus ke kantin untuk minum pagi kerana bermula jam 8.50 pagi jadualku akan penuh sehingga 12.50 tengahari.Sambil minum bersama Cikgu Fadhil, Ustaz Rusli dan Ustaz Zahir, pebagai isu semasa menjadi topik perbincangan. Berbual bersama rakan sekerja ini terutama yang lebih senior dapat menambahkan input disulami gelak ketawa yang meriangkan.
Kelas ku bermula jam 8.50 pagi. Persiapan lebih awal menyebabkan sesi P&P lancar dan teratur. Murid lebih terurus dan mudah dikawal. Mereka ku bekalkan dengan kerja rumah untuk disiapkan memandang agak lama mereka telah berehat.
Kelas berikutnya ialah tahun 6. Kelas ini tidak lekang dengan isu sensasi dan terkini. Aku muncul di pintu kelas dan menjenguk terlebih dahulu kedalam memandangkan keadaan murid yang senyap. Anggapanku mungkin masih ada guru didalam kelas rupanya meleset. Hari ini sesi P&P ku dibantu oleh carta dan kad imbas. Menerangkan tentang Gerhana Bulan dan Matahari memerlukan murid lebih terdedah kepada gambar dan rajah. Aku cuba mendapatkan respon murid tentang Hari Terbuka Ibu Bapa Jumaat lepas. Rata-rata memberikan respon positif tentang Sains. Lega rasanya malah memberikan motivasi untuk terus gigih membantu mereka.
Kelas terakhir ku ialh kelas tahun 4. Kelas ini terkenal dengan kenakalan dan sikap tidak mahu belajar mereka. Hampir kesemua murid langsung tidak memahami Bahasa Inggeris malah ada segelintir mereka tidak langsung mampu membaca. Menangani kelas ini memerlukan pendekatan lebih keras dan tegas. Tidak membuat kerja akan dihukum serta merta. Namun dengan pendekatan sedemikian pun masih terdapat murid yang tidak dapat mampu menyiapkan sepenuhnya kerja mereka.
Kerja ku berakhir jam 12.50 dan baki masa yang ada kugunakan untuk membincangkan Projek Eureka-ree Energy Effiency Beach House dengan para peserta yang mewakili sekolah. Perbincangan selesai jam 1.20 dan aku meneruskan sedikit research sebelum bergegas mengemas untuk makan tengahhari.
Aku tidak terus pulng ke rumah tetapi berkeliaran di bandar Segamat mencari beberapa keperluan peribadi. Aku tiba di rumah dengan disambut 2 anak kecil yang comel di sliding door. Hilang segala kepenatan bekerja apabila melihatkan teletah mereka.
Hmmm..begitulah perjalanan suatu hari yang indah dalam rutin hidupku. Anda pula bagaimana? Mungkin tidak keterlaluan aku mengatakan,kita dibebani masalah atau isu adalah disebabkan sikap kita yang sendiri yang mendorong kita dipersalah atau diperlekehkan. Fikir-fikirkan...

Ahad, 21 Jun 2009

2000 visitors achieved...

Congratulations and thank you for all the visitors for visiting this blog until it officially shows the traffic of 2000 visitors. I promise to keep this blog up to date and convenient for all of the visitors. Thank you.

Sabtu, 20 Jun 2009

Istimewa Sempena Hari Bapa

Sebelum itu izinkan cikgu meng`aku’kan diri buat kali ini.

Hari bertukar minggu, minggu bertukar bulan dan bulan bertukar tahun. Kini aku sudah bekerja dan mempunyai keluarga ku sendiri. Perjalanan masa yang kurasakan singkat menyebabkan ku rasa terkilan kerana tidak dapat memberikan sepenuh perhatian kepada ibu dan ABAH tersayang.
Kini genap 30 tahun ABAHku bergelar BAPA. Seingat aku, aku mula mengenal ABAHku semasa usiaku 3 atau 4 tahun. Aku ingat akan rambutnya, suaranya, mukanya dan juga bunyi motorsikalnya. Seingat aku juga ABAHku dulu berambut agak panjang dan agak mengikut trend semasa. Abah menunggang motorsikal scrambler yang kini telah pun dijual kepada anak rakannya. Kemudian Abah membeli sebuah lagi motorsikal kapcai Suzuki yang lebih sesuai dengan keadaan beliau berkeluarga ketika itu dan Scramblernya itu hanya digunakan pada waktu-waktu tertentu sahaja.
Seingat aku, ayahku seorang yang sangat periang dan ramah. Abah sangat mengingati kawan-kawannya walaupun mereka itu tidak terkira ramainya. Ingatan Abah sangat kuat dan amat jarang sekali tidak mengingati nama rakan, saudara mara atau pekerja di bawah jagaannya. Kemana sahaja Abah pergi, Abah akan mendapat kawan baru tidak kira apa bangsa sekalipun. Pernah dahulu beberapa orang Jepun telah menjadi sahabat baik Abah sehingga adik pertama ku terkenan dengan wajah kejepunan.
Perjalanan hidupku sewaktu kecil amat sempurna dibawah jagaan abah dan mak. Aku dibesarkan dengan perhatian terbaik dan diberikan keperluan yang terbaik samada dari segi pemakanan mahupun pakaian. Malah pakaian ku sewaktu kecil masih lagi elok kerana ianya sangat berjenama dan tahan lama. Permainan-permainan yang dibelikan adalah yang berkualiti tinggi hinggakan anakku masih mampu melihatnya kini.
Namun langit tidak selalunya cerah dan ujian dariNya muncul. Ketika aku masih di tahun 3, ABAHku ditimpa musibah. Disebabkan sikap baik hati dan mudah percayakan rakan-rakannya, Abah telah diperdayakan sehingga mengakibatkan duit pekerja bawahannya di larikan oleh rakan (merangkap ketua pekerja ketika itu). Duit yang sepatutnya dikendalikan oleh Abah lesap dan menyebabkan syarikat menyalahkan Abah sepenuhnya atas kecuaian itu. Ketika itu aku menjadi saksi akan kesukaran yang Abah tanggungi. Polis, pengurus dan orang ramai silih berganti dating ke rumah mendesak, memarahi dan menyoal siasat ABAHku. ABAHku pernah disuruh menjunjung Al Quran bagi membuktikan kata-katanya dan Abah menjunjungnya tanpa ragu-ragu. Abah kesana kemari mencari rakannya itu dan berusaha menggantikan duit yang hilang itu. Pernah suatu ketika aku terdengar perbualan ABAH dan emakku. Abah berkata alangkah baik jika Abah memandu laju dan terbabas kedalam Sungai Pahang, selesai semua masalah.
Rentetan kejadian itu gaji ABAHku dimansuhkan hampir setahun dan kemudiannya dipotong untuk bulan-bulan berikutnya sehingga menyamai jumlah duit yang lesap itu. Bayangkan ketika itu, kami tiada pendapatan langsung. ABAH mula berjinak-jinak melakukan kerja luar manakala ibu mula meniaga. Aku pula membantu mereka dengan membawa kacang dan sagu untuk dijual di sekolah agama. Dengan pendapatan yang tidak seberapa itu kami meneruskan hidup. Hutang pinjaman kenderaan dan kad kredit ABAH melonjak dan akhirnya Abah diisytiharkan muflis.
ABAH kesana kesini melakukan kerja yang termampu. Abah tidak dipecat sebaliknya terpaksa bekerja tanpa gaji. Setelah pulang dari pejabat, Abah akan segera keluar melakukan kerja sampingan. Antaranya menjadi jurujual kereta, memotong pokok mengkudu, berkebun dan memelihara ayam. Musibah yang melanda ini begitu menguji kami sekeluarga terutama ABAH.
Namun dalam keadaan runcing sebegitu, ia tidak menghalang abah memberikan perhatian kepada anak-anaknya. Aku sering terlewat kesekolah kerana abah lambat pulang ke rumah mengambilku. Sehinggalah aku dibenarkan berjalan kaki dan kemudiannya mengayuh basikal pemberian pakcikku. Aku sering ke sekolah tanpa duit saku, dengan janji Abah akan menghantarnya sebelum waktu rehat. Dan Abah tidak pernah memungkiri janjinya itu, malah jika Abah sampai pada waktu rehat, abah akan belanja juga beberapa orang rakan sekolah ku ketika itu. Ini menyebabkan aku popular seolah-olah abahku seorang yang kaya. Pernah suatu ketika abah tiba agak lewat dan abah meminta kebenaran guru untuk membawaku makan di kantin. Aku merungut tetapi kelucuan abah menyebabkan aku tertawa akhirnya.
Sewaktu hari peperiksaan, abah akan menanyakan akan keperluan yang masih tiada. Abah berusaha memenuhi tuntutan ku walaupun kadangkala hampir terlambat. Aku bersemangat gigih untuk cemerlang dengan alat tulis baru dan dorongan mak dan abah. Hasilnya aku membolot tempat pertama sejak dari tahun 2 hingga tahun 6. Ini amat membanggakan abah.
Aku meneruskan penguasaan aku sehingga UPSR dan berjaya terpilih ke beberapa asrama terbaik berdekatan. Namun impian abah lebih tinggi. Abah menghantarku ke asrama penuh untuk anak-anak Felda di Kuala Lumpur. Abah berusaha menyewa kereta, mengumpul duit dan menghantar nun jauh di sana. Maka bermulalah rutinku sebagai pelajar di asrama. Pada awalnya aku kerap menghantar surat dan mak sentiasa membalasnya. Kemudian kemudahan telefon tiba di Felda ku. Aku boleh menelefon abah sekiranya abah berada di pejabat atau meninggalkan pesan kepada kerani supaya abah menunggu aku menelefonnya semula. Dan aku gembira dan bersemangat dapat mendengar suara dan gurauan abah yang sering menyamar sebagai orang India sewaktu menyambut panggilan ku. Dan kebetulan berhampiran sekolahku terdapat satu pondok telefon yang menelan duit amat lambat berbanding kadar semasa. Jika aku meletakkan seringgit, ia cukup untuk aku bersembang dengan abah sehingga panas telinga. Setelah telefon itu diperbaiki, aku pula sudah pandai men’curi’ talian dan menelefon abah seberapa lama yang aku mahu.
Namun, ingatan anak kepada ibu atau bapanya tidak kekal lama. Aku hanyut seketika dalam dunia remaja bersama rakan-rakanku. Jarang telefon, menghantar surat malah hanya membalas pendek setelah mak mengutus beberapa pucuk surat kepadaku. Pada fikiranku ketika itu, mak dan abah hanya mengada-ngada dan berlebih-lebih dan tidak memperdulikan aku kerana amat jarang menjengukku. Jika aku tidak menghubungi mereka, mereka akan menelefon ke pejabat warden untuk memanggilku.
Sehinggalah timbul kesedaran yang agak terlewat setelah aku melihat kepayahan abah datang juga menjengukku dengan menaiki bas dan selalu muncul dengan tiba-tiba di pintu kelasku. Sehinggakan guru dan rakan kelasku akan memanggilku awal jika ternampak abah tiba dari jauh. Ini kerana sikap abah yang ramah dan mesra dengan guru dan rakan-rakanku. Dan akhirnya aku mendapat keputusan yang cemerlang dalam PMR dan amat menggembirakan mak dan abah. Abah begitu bangga sehinggakan abah akan menceritakan akan kejayaanku kepada orang yang tidak dikenalinya walaupun sewaktu mengisi minyak.
Dan aku bertambah matang dalam menilai pengorbanan abah ketika melanjutkan pelajaran di MRSM dan seterusnya ke menara gading. Aku cuba menjadi anak yang baik dan bertanggungjawab walaupun kadangkala aku bertegas dalam sesuatu keadaan. Mungkin abah pernah kecewa dan terluka dengan tingkah lakuku itu. Namun aku tiada niat melukakannya kerana sebagai seorang anak, abang, cucu, anak saudara dan kini bapa yang sulong, aku perlu ada pendirian sendiri yang kurasakan bernas untuk menangani sesuatu masalah. Sekali lagi aku memohon ampun dan maaf. Dan bersempena dengan Hari Bapa yang jatuh pada hari ini, aku dan seluruh keluargaku mengucapkan Selamat Hari Bapa buat seorang abah yang terbaik dan semoga hari-hari mendatang dijalani dengan penuh kegembiraan disamping mak, anak, cucu, atok dan saudara mara sekalian. Jaga kesihatan, jaga pemakanan dan jaga keselamatan selalu…sekian

Addicted to Nurkasih TV3

It seems like such a long time I didn’t expose myself to Malay drama. However it changes when one of my friends seduced me to watch the new series of Nurkasih. It’s a nice story to watch, with a good script, good acting and story line. I recommend this TV drama to all of you to watch and give your opinion.



Nur Kasih mengisahkan dua beradik, Aidil dan Adam, yang mempunyai karaktor yang sangat berbeza. Aidil seorang anak yang akur kepada segala perintah ibu bapanya, penyabar dan cukup menyayangi adiknya. Dia mengambil jurusan undang-undang di Universiti Al-Azhar, Mesir dan bercita-cita untuk menjadi seorang peguam syariah. Adam pula hidup dalam suasana yang penuh eksotik di Australia, mengambil jurusan seni bina dan bercita-cita besar untuk membuka firma seni bina sendiri di Sydney. Adam seorang yang berdikari dan tegas dalam setiap keputusan yang diambil dalam hidupnya.

Ternyata anak-anak Ustaz Hassan dan Hajjah Khadijah ini sama-sama berjaya dalam pelajaran tetapi hanya seorang yang mendapat kepercayaan penuh oleh ibu bapa sendiri. Ustaz Hassan berkawan baik dengan imam kampung, Ustaz Abu Bakar, yang mempunyai dua orang anak perempuan, Nur Amina dan Siti Sarah. Nur seorang pelajar terbaik di kampungnya dan bercita-cita tinggi untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Malangnya keluarga Nur tidak mampu untuk menanggung perbelanjaan tetapi dia tetap berusaha untuk memohon pinjaman dan biasiswa tetapi malang tetap menimpa apabila dia menerima kunjungan peminangan Ustaz Hassan.

Ustaz Hassan bertanya kepada Aidil siapakah wanita pilihannya untuk dijadikan isteri. Aidil tanpa berfikir panjang terus menyatakan minatnya terhadap Nur Amina. Tetapi keputusan yang diambil Ustaz Hassan semasa hari peminangan mengejutkan keluarganya kerana dia memutuskan Adam untuk memperisterikan Nur Amina, bukan Aidil. Walaupun kecewa, Aidil tetap bersabar dan memahami niat baik ayahnya yang cuba untuk menolong Adam. Aidil yang sangat mengambil berat tentang adiknya sentiasa memberi nasihat untuk tidak melawan kehendak ibu dan ayahnya yang semakin tenat serta tidak mensia-siakan isteri dan perempuan seperti Nur Amina.

Masa berlalu… Dengan berbekalkan perasaan sedih kerana kehilangan seorang ayah dan gadis yang dicintai, Aidil tetap meneruskan kehidupannya sebagai seorang peguam di mahkamah negeri. Adam pula berhijrah kembali ke Australia untuk meneruskan pengajian dan berjumpa dengan kekasih hati, Katrina. Nur ditinggalkan dan hidup dalam penipuan terhadap ibu bapanya yang mempercayai dia mengikut suami berhijrah ke Australia walhal kini hidup sendirian di Kuala Lumpur. Tetapi ini tidak menjadikan penghalang baginya untuk memegang segulung ijazah dalam jurusan seni bina di salah sebuah universiti terkemuka di Kuala Lumpur.

Oleh kerana terlalu gah dengan kehidupan di negara orang, arwah ayah dipersoalkan, ibu di kampung dilupakan, isteri sendiri diabaikan. Pelbagai masalah yang dilakukan oleh Adam tanpa menyedari akibatnya yang akan memakan diri sendiri. Adam tetap mengamalkan tabiat buruknya yang cukup untuk memesongkan diri dari agama. Dan kerana nafsu, dia berkahwin dengan Katrina tanpa memberitahu hal sebenar tentang isteri yang telah dibiarkan. Segalanya berubah apabila kemalangan tragik berlaku yang melibatkan Adam dan Katrina. Apakah kesudahan drama ini?

Dibintangi oleh - Fizz Fairuz,Remy Ishak,Tiq Zaqyah,Jalaluddin Hassan,Liza Othman,Ayu Raudhah,Sharifah Sofea
source:tv3.com.my

Isnin, 15 Jun 2009

Baloq Liat

Hari pertama persekolahan selepas 2 minggu bercuti amat memenatkan dan juga melucukan. Cikgu sendiri kehilangan suara keras setelah 2 minggu tidak mengajar. Tekak terasa sempit untuk meneriak. Mungkin juga penangan durian Segamat yang dibaru permulaan musim ini. Itu baru permulaan musim...
Sejak malam tadi lagi cikgu sudah tidak lena tidur, bimbang terlewat bangun dan terpaksa bergegas-gegas. Itu akan merosakkan mood hari pertama yang memang sudah dimaklumi akan ketiadaan moodnya. Jadi cikgu bertolahk awal ke sekolah dan setiba di sekolah masih tidak ramai cikgu yang tiba. Murid-murid kelihatan lesu dan agak kurang aktif berbanding hari-hari biasa. Kemudian ada juga cikgu terdengar murid dan guru yang datang lewat disebabkan berbagai masalah. Antaranya, kereta tidak boleh di start (maklumla tidak di start selama 2 minggu), ibu lewat bangun dan sebagainya.
Sepanjang hari pula kebanyakkan guru lebih senang melayan perasaan masing-masing. Hanya segelintir sahaja yang bersembang sesama sendiri dan tidak semeriah hari-hari biasa. Mungkin masih dalam mood bercuti. Cikgu pula menjalankan kelas seperti biasa dengan beberapa kesukaran ;
1. kehilangan suara tinggi dan tersekat-sekat.
2. kurang keinginan untuk memarahi murid yang tidak menyiapkan kerja rumah (just wait).
3. Fokus murid yang kurang dan keadaan yang mengantuk.

Diharapkan hari-hari mendatang murid dan guru akan lebih bersemangat dan back on track. Cikgu cuba buang jauh-jauh sikap baloq liat dan cuba kembali seperti biasa secepat mungkin. Yeah, semangat terus bersemangat...