Sabtu, 20 Jun 2009

Istimewa Sempena Hari Bapa

Sebelum itu izinkan cikgu meng`aku’kan diri buat kali ini.

Hari bertukar minggu, minggu bertukar bulan dan bulan bertukar tahun. Kini aku sudah bekerja dan mempunyai keluarga ku sendiri. Perjalanan masa yang kurasakan singkat menyebabkan ku rasa terkilan kerana tidak dapat memberikan sepenuh perhatian kepada ibu dan ABAH tersayang.
Kini genap 30 tahun ABAHku bergelar BAPA. Seingat aku, aku mula mengenal ABAHku semasa usiaku 3 atau 4 tahun. Aku ingat akan rambutnya, suaranya, mukanya dan juga bunyi motorsikalnya. Seingat aku juga ABAHku dulu berambut agak panjang dan agak mengikut trend semasa. Abah menunggang motorsikal scrambler yang kini telah pun dijual kepada anak rakannya. Kemudian Abah membeli sebuah lagi motorsikal kapcai Suzuki yang lebih sesuai dengan keadaan beliau berkeluarga ketika itu dan Scramblernya itu hanya digunakan pada waktu-waktu tertentu sahaja.
Seingat aku, ayahku seorang yang sangat periang dan ramah. Abah sangat mengingati kawan-kawannya walaupun mereka itu tidak terkira ramainya. Ingatan Abah sangat kuat dan amat jarang sekali tidak mengingati nama rakan, saudara mara atau pekerja di bawah jagaannya. Kemana sahaja Abah pergi, Abah akan mendapat kawan baru tidak kira apa bangsa sekalipun. Pernah dahulu beberapa orang Jepun telah menjadi sahabat baik Abah sehingga adik pertama ku terkenan dengan wajah kejepunan.
Perjalanan hidupku sewaktu kecil amat sempurna dibawah jagaan abah dan mak. Aku dibesarkan dengan perhatian terbaik dan diberikan keperluan yang terbaik samada dari segi pemakanan mahupun pakaian. Malah pakaian ku sewaktu kecil masih lagi elok kerana ianya sangat berjenama dan tahan lama. Permainan-permainan yang dibelikan adalah yang berkualiti tinggi hinggakan anakku masih mampu melihatnya kini.
Namun langit tidak selalunya cerah dan ujian dariNya muncul. Ketika aku masih di tahun 3, ABAHku ditimpa musibah. Disebabkan sikap baik hati dan mudah percayakan rakan-rakannya, Abah telah diperdayakan sehingga mengakibatkan duit pekerja bawahannya di larikan oleh rakan (merangkap ketua pekerja ketika itu). Duit yang sepatutnya dikendalikan oleh Abah lesap dan menyebabkan syarikat menyalahkan Abah sepenuhnya atas kecuaian itu. Ketika itu aku menjadi saksi akan kesukaran yang Abah tanggungi. Polis, pengurus dan orang ramai silih berganti dating ke rumah mendesak, memarahi dan menyoal siasat ABAHku. ABAHku pernah disuruh menjunjung Al Quran bagi membuktikan kata-katanya dan Abah menjunjungnya tanpa ragu-ragu. Abah kesana kemari mencari rakannya itu dan berusaha menggantikan duit yang hilang itu. Pernah suatu ketika aku terdengar perbualan ABAH dan emakku. Abah berkata alangkah baik jika Abah memandu laju dan terbabas kedalam Sungai Pahang, selesai semua masalah.
Rentetan kejadian itu gaji ABAHku dimansuhkan hampir setahun dan kemudiannya dipotong untuk bulan-bulan berikutnya sehingga menyamai jumlah duit yang lesap itu. Bayangkan ketika itu, kami tiada pendapatan langsung. ABAH mula berjinak-jinak melakukan kerja luar manakala ibu mula meniaga. Aku pula membantu mereka dengan membawa kacang dan sagu untuk dijual di sekolah agama. Dengan pendapatan yang tidak seberapa itu kami meneruskan hidup. Hutang pinjaman kenderaan dan kad kredit ABAH melonjak dan akhirnya Abah diisytiharkan muflis.
ABAH kesana kesini melakukan kerja yang termampu. Abah tidak dipecat sebaliknya terpaksa bekerja tanpa gaji. Setelah pulang dari pejabat, Abah akan segera keluar melakukan kerja sampingan. Antaranya menjadi jurujual kereta, memotong pokok mengkudu, berkebun dan memelihara ayam. Musibah yang melanda ini begitu menguji kami sekeluarga terutama ABAH.
Namun dalam keadaan runcing sebegitu, ia tidak menghalang abah memberikan perhatian kepada anak-anaknya. Aku sering terlewat kesekolah kerana abah lambat pulang ke rumah mengambilku. Sehinggalah aku dibenarkan berjalan kaki dan kemudiannya mengayuh basikal pemberian pakcikku. Aku sering ke sekolah tanpa duit saku, dengan janji Abah akan menghantarnya sebelum waktu rehat. Dan Abah tidak pernah memungkiri janjinya itu, malah jika Abah sampai pada waktu rehat, abah akan belanja juga beberapa orang rakan sekolah ku ketika itu. Ini menyebabkan aku popular seolah-olah abahku seorang yang kaya. Pernah suatu ketika abah tiba agak lewat dan abah meminta kebenaran guru untuk membawaku makan di kantin. Aku merungut tetapi kelucuan abah menyebabkan aku tertawa akhirnya.
Sewaktu hari peperiksaan, abah akan menanyakan akan keperluan yang masih tiada. Abah berusaha memenuhi tuntutan ku walaupun kadangkala hampir terlambat. Aku bersemangat gigih untuk cemerlang dengan alat tulis baru dan dorongan mak dan abah. Hasilnya aku membolot tempat pertama sejak dari tahun 2 hingga tahun 6. Ini amat membanggakan abah.
Aku meneruskan penguasaan aku sehingga UPSR dan berjaya terpilih ke beberapa asrama terbaik berdekatan. Namun impian abah lebih tinggi. Abah menghantarku ke asrama penuh untuk anak-anak Felda di Kuala Lumpur. Abah berusaha menyewa kereta, mengumpul duit dan menghantar nun jauh di sana. Maka bermulalah rutinku sebagai pelajar di asrama. Pada awalnya aku kerap menghantar surat dan mak sentiasa membalasnya. Kemudian kemudahan telefon tiba di Felda ku. Aku boleh menelefon abah sekiranya abah berada di pejabat atau meninggalkan pesan kepada kerani supaya abah menunggu aku menelefonnya semula. Dan aku gembira dan bersemangat dapat mendengar suara dan gurauan abah yang sering menyamar sebagai orang India sewaktu menyambut panggilan ku. Dan kebetulan berhampiran sekolahku terdapat satu pondok telefon yang menelan duit amat lambat berbanding kadar semasa. Jika aku meletakkan seringgit, ia cukup untuk aku bersembang dengan abah sehingga panas telinga. Setelah telefon itu diperbaiki, aku pula sudah pandai men’curi’ talian dan menelefon abah seberapa lama yang aku mahu.
Namun, ingatan anak kepada ibu atau bapanya tidak kekal lama. Aku hanyut seketika dalam dunia remaja bersama rakan-rakanku. Jarang telefon, menghantar surat malah hanya membalas pendek setelah mak mengutus beberapa pucuk surat kepadaku. Pada fikiranku ketika itu, mak dan abah hanya mengada-ngada dan berlebih-lebih dan tidak memperdulikan aku kerana amat jarang menjengukku. Jika aku tidak menghubungi mereka, mereka akan menelefon ke pejabat warden untuk memanggilku.
Sehinggalah timbul kesedaran yang agak terlewat setelah aku melihat kepayahan abah datang juga menjengukku dengan menaiki bas dan selalu muncul dengan tiba-tiba di pintu kelasku. Sehinggakan guru dan rakan kelasku akan memanggilku awal jika ternampak abah tiba dari jauh. Ini kerana sikap abah yang ramah dan mesra dengan guru dan rakan-rakanku. Dan akhirnya aku mendapat keputusan yang cemerlang dalam PMR dan amat menggembirakan mak dan abah. Abah begitu bangga sehinggakan abah akan menceritakan akan kejayaanku kepada orang yang tidak dikenalinya walaupun sewaktu mengisi minyak.
Dan aku bertambah matang dalam menilai pengorbanan abah ketika melanjutkan pelajaran di MRSM dan seterusnya ke menara gading. Aku cuba menjadi anak yang baik dan bertanggungjawab walaupun kadangkala aku bertegas dalam sesuatu keadaan. Mungkin abah pernah kecewa dan terluka dengan tingkah lakuku itu. Namun aku tiada niat melukakannya kerana sebagai seorang anak, abang, cucu, anak saudara dan kini bapa yang sulong, aku perlu ada pendirian sendiri yang kurasakan bernas untuk menangani sesuatu masalah. Sekali lagi aku memohon ampun dan maaf. Dan bersempena dengan Hari Bapa yang jatuh pada hari ini, aku dan seluruh keluargaku mengucapkan Selamat Hari Bapa buat seorang abah yang terbaik dan semoga hari-hari mendatang dijalani dengan penuh kegembiraan disamping mak, anak, cucu, atok dan saudara mara sekalian. Jaga kesihatan, jaga pemakanan dan jaga keselamatan selalu…sekian

1 ulasan:

wan muliani berkata...

adeh...sangat terharu la baca entry ni..hope abah n awk satu family skrg bahagia