Kursus Pengurusan GPK Ko-K, Hotel Good Hope, Skudai
Tidak sampai beberapa hari pulang dari Langkawi, cikgumoden terpaksa lagi meninggalkan anak isteri untuk mengganti kehadiran GPK Ko-K sekolah cikgumoden ke kursus ini. Mungkin ada pro dan kontranya mempunyai hati yang lembut. Atas dasar lembut hati, cikgumoden sanggup menggantikan bos cikgumoden ke kursus ini kerana tak sampai hati melihat beliau bercelaru kerana terpaksa menguruskan pertunangan anak perempuannya Sabtu ini. Tapi pada masa yang sama, cikgumoden merasa bertuah kerana terpilih berada di kalangan GPK dan jarang guru biasa seperti cikgumoden terlibat dengan kursus pengurusan seperti ini. Walaupun agak sukar membawa diri dikalangan mereka, namun banyak yang dapat dipelajari dari segala sudut dan segi(tidak termasuk pengalaman individu)yang biasanya hanya didapati jika kita telah berusia lewat 40-an.
Mendengar penerangan dan penelitian secara langsung dari mulut ketua sektor dan unit memberikan cikgumoden gambaran jelas tentang apa dan bagaimana suatu isu itu diuruskan. Dan kesan langsung dari ini akan membawa kemahiran cikgumoden lebih dekat dengan pihak pengurusan. Sememangnya bagus terlibat dalam kursus seperti ini jika dilihat dari aspek pengisian nya, tetapi agak kurang sesuai bagi cikgumoden untuk berada di kalangan mereka yang hebat dan berpengalaman ini. Namun penerimaan mereka akan kehadiran cikgumoden amat dihargai.
Semoga berjumpa lagi...
Bas tambahan
Agaknya hampir 2 tahun cikgumoden tidak lagi menggunakan bas ekspress. Ketika menghadiri kursus ini, cikgumoden tidak melepaskan peluang menaiki bas ekspress dari Segamat ke Skudai semata-mata untuk menjimatkan kos. Berbanding memandu sendirian, sudah tentu kosnya berlipat kali ganda.
Tetapi apa yang ingin cikgumoden kongsikan disini ialah berkenaan tambang yang dikenakan oleh bas tambahan. Setelah selesai berkursus, cikgumoden terus ke kaunter tiket berhampiran hotel penginapan. Namun, tiket sudah terjual habis. Memang sudah cikgumoden jangkakan kerana lusa merupakan sambutan Deepavali. Cuma anggapan cikgumoden ialah tidak ramai Indian yang akan pulang pada hari Sabtu kerana sudah pulang pada hari Jumaat. Tetapi jangkaan meleset apabila kaum lain pun berpusu-pusu pulang ke kampung terutama rakyat kita yang bekerja di Singapura.
Lantas cikgumoden bergegas ke Larkin dan berpusu-pusu membeli tiket. Namun tetap hampa. Tiket terawal ialah pada pukul 9.30 malam sedangkan ketika itu baru pukul 2 petang. Tak sanggup rasanya menunggu sehingga malam, dan cikgumoden mengambil keputusan untuk meaiki teksi dari Larkin ke Segamat. Tetapi bayaran untuk sebuah teksi pula mencecah RM200. Jika ingin jimat, terpaksala menunggu penumpang lain sehingga 4 orang, kemudian barulah boleh berkongsi RM50 seorang.
Ketika sedang menunggu, kedengaran laungan si ulat tiket tentang bas tambahan ke Segamat. Tanpa membuang masa cikgumoden meluru dan terus bertanya ingin membeli, namun harga yang dikenakan memang luarbiasa iaitu RM40 seorang. Amat berbeza dengan tambang normal iaitu RM15.60 sahaja. Oleh kerana keadaan mendesak, cikgumoden pun membeli tiket tersebut asalkan dapat pulang dengan segera. Pada anggapan cikgumoden, bas ini mestilah selesa dan cantik.
Tepat 4.30 petang, cikgumoden sudah terpacak didepan kaunter menunggu dibawa ke bas. Seorang konco ulat tiket membawa kami semua ke sebuah bas yang terselit di celah-celah kenderaan lain di jalan utama. Dan apa yang mengejutkan, bas tersebut ialah bas kilang yang sudah uzur dan luntur. Berada di dalam bas ini amat tidak menyelesakan. ruang kaki yang sempit tidak memungkinkan untuk seat di turunkan. Maka, duduk tegaklah cikgumoden sehingga ke Segamat. Dan ketika tiba di Segamat, tidak tergambar kegembiraan cikgumoden kerana tamat sebuah penyeksaan.
p/s : sampai hari ini badan cikgumoden masih lagi terasa lenguh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan