Selasa, 1 Januari 2008

Semoga Pakistan kembali aman, aminnn..


Suami Benazir dipandang serong

ISLAMABAD: Suami Benazir Bhutto, Asif Ali Zardari yang dilantik sebagai Pengerusi Bersama Parti Rakyat Pakistan (PPP) ekoran kematian Allahyarham, dibayangi reputasi kurang menyenangkan termasuk sebagai bekas Menteri Kabinet yang pernah menjalani hukuman penjara lapan tahun atas tuduhan rasuah. Malah, beliau turut dikenali ‘Mr 10 Percent’ kerana tabiatnya yang didakwa suka meminta habuan. Dalam wasiatnya kelmarin, Benazir menamakan Zardari sebagai penggantinya mengetuai PPP. Tetapi, Asif Ali yang dipandang penuh syak wasangka oleh ramai rakyat, bertindak melantik anak lelakinya, Bilawal Bhutto Zardari, 19, sebagai Pengerusi rasmi parti diasaskan datuknya pada 1967.
Biarpun dikenali sebagai pemimpin politik Pakistan terkenal serta reputasi meraih keuntungan besar ketika era pemerintahan Benazir, Bilawal fasih berbahasa Inggeris, pelajar Universiti Oxford yang sebahagian besar masanya dihabiskan di luar negara. Pada sidang media kelmarin, Bilawal menegaskan yang bapanya akan menjaga hal ehwal PPP sementara beliau menghabiskan pengajiannya. Asif Ali, 54, menikmati populariti dan kemewahan selepas berkahwin dengan Benazir - perkahwinan yang diatur keluarga. Benazir menjadi Perdana Menteri buat pertama kali pada 1988, kurang tiga bulan selepas melahirkan Bilawal.
Asif Ali pula dipersalahkan sebagai punca sebahagian besar nasib malang Benazir apabila dua kali disingkirkan daripada jawatan penting itu atas dakwaan rasuah dan penyelewengan. Suami Benazir itu menjalani hukuman penjara pertama pada 1990 atas tuduhan termasuk pembunuhan dan penyelewengan bank apabila kerajaan pertama Benazir digulingkan. Beliau dibebaskan pada 1993 dan dibebaskan daripada tuduhan termasuk dakwaan cuba memeras ugut berjuta-juta dolar daripada usahawan Britain dengan meletakkan bom pada kaki warga asing berkenaan. Asif Ali sebaliknya mendakwa tuduhan itu bermotifkan politik. Beliau memegang jawatan sebagai Menteri Pelaburan dalam kerajaan kedua Benazir dan diberi jolokan ‘Mr 10 Percent’ kerana didakwa cuba mendapatkan habuan menerusi kontrak kerajaan. Beliau yang menghidap pelbagai penyakit seperti jantung dan sakit belakang, juga didakwa ada kaitan dengan pembunuhan ke atas adik iparnya sendiri, Murtaza, selain dituduh menghabiskan wang negara ke atas kuda dan epal bagi makanan haiwan yang dipelihara di kediaman rasmi Perdana Menteri, ketika penduduk miskin kekurangan makanan.
Tidak banyak diketahui mengenai Bilawal yang menghabiskan sebahagian besar tempoh lapan tahun lalu bersama keluarganya di Emiriah Arab Bersatu (UAE). Bilawal juga mempunyai banyak persamaan wajah dengan ibunya - bermuka panjang, hidung mancung, bermata tajam dan bulu kening lebat. Jika bapanya banyak bertutur dalam bahasa Urdu dalam sidang media kelmarin, Bilawal cuma berbahasa Inggeris yang sekali gus membangkitkan persoalan mengenai keupayaan menguasai bahasa rasmi Pakistan. - AP

Tiada ulasan: