Ahad, 8 Februari 2009

Happy 1st Birthday Zahra Saffiya Bt. Izham Faizul

Ketika kelam kabut membawa anak kedua cikgu ke bilik air kerana 'leaking', isteri cikgu menyapa dari belakang. "Dah bangun ye Zara, hepi besdayyyy...". Terkedu cikgu sebentar di pintu bathroom. Terasa ralat di dalam hati, bagaimana boleh terlupa tarikh penting sebegini. Lebih-lebih lagi hari jadinya yang pertama. Mungkin kerana sebelum ini terlalu mengharapkan reminder dari handphone sahaja, dan kebetulan handphone tersebut tidak di caj pada malam sebelumnya. Jadi, inilah akibatnya...

Mengenang kembali kelahiran yang tidak diduga yang pernah cikgu coretkan sebelum ini, kini Zahra membesar sebagai seorang kanak-kanak yang bijak dan ceria. Sering kali keletihan cikgu pulang dari sekolah lenyap tatkala di sambut oleh senyuman dan hilai tawa si Zahra. Apa yang cikgu perhatikan, Zahra sangat kurang menangis. Jika dalam seminggu boleh dikatakan hanya beberapa kali menangis. Itupun sebab disakat oleh abangnya, Zakuan. Perbezaan mereka berdua amat ketara sekali terutama dari segi kekerapan menangis. Malah jika dikenangkan, telah beberapa orang bomoh dan ustaz pernah cikgu terpa kerana tangisan si Zakuan yang tidak berhenti-henti. Cuma ia semakin berkurangan setelah cikgu berjaya pindah untuk tinggal bersama dari Petaling Jaya.

Zahra lahir dalam keadaan yang kelam kabut. Cikgu sangat khuatir ketika itu andai kelahiran Zahra yang tidak cukup bulan akan membantutkan sebarang pembesaran atau mengganggu perkembangannya kelak. Pelbagai versi cerita yang cikgu dengar tentang kelahiran bayi pramatang. Ada yang kurang pendengaran, penglihatan malah percakapan membuatkan cikgu amat-amat rasa bersalah. Silap cikgu juga kerana tidak bersedia untuk perkara sebegini kerana jangkaan cikgu semuanya akan normal sahaja. Kelemahan cikgu disini ialah terlalu bersikap optimistik. Nasihat cikgu kepada bakal ibu bapa di luar sana, sentiasalah bersedia untuk sebarang kemungkinan.

Namun kini setelah setahun, tiada sebarang kekurangan dari segi kesihatan yang cikgu perhatikan. Cuma Zahra masih belum boleh berjalan berbanding abangnya yang bertatih ketika 11 bulan serta Zahra mempunyai selera makan yang agak tinggi. Tetapi itu tidak merisaukan, kerana yang lebih penting kesihatan dan perkembangannya adalah normal.

Untuk Zahra, Daddy ucapkan Selamat Hari Lahir yang PERTAMA. Semoga Zahra akan membesar sebagai seorang Muslimah yang solehah, berperibadi tinggi, bijak dan taat pada suruhan agama. Daddy sentiasa doakan...

Zahra ketika 2 hari

The latest Zahra with her aunt.

Zahra ketika diganggugugat by her only brother, Zakuan.

Tiada ulasan: