Kebelakangan ini sambungan internet di rumahku sering terganggu dan tidak stabil. Mungkin disebabkan peningkatan jumlah pengguna ataupun masalah cuaca (aku menggunakan Celcom Broadband 3G). Acapkali aku tertidur sewaktu menunggu satu-satu web itu siap di buka. Kelambatan yang amat ketara. Namun aku cuba sedaya upaya untuk memastikan blog ini terus beroperasi seadanya.
Masih belum terlambat untuk aku mengucapkan salam Ramadhan Al-Mubarak kepada para pengunjung blog ini. Semoga kita selamat menjalani ibadah puasa pada tahun ini dengan lebih tawaduk dan kesungguhan. Aminnn...
Pada awalnya tujuan blog ini diadakan adalah sebagai suka-suka dan tidak lebih dari itu. Ia hanya sekadar untuk aku meningkatkan kemahiran diri agar tidak rasa ketinggalan dalam era ICT ini. Tetapi kini aku mula menyedari kepentingan menceburkan diri dengan `dunia` baru ini.
Ketika dan waktu ini kita semakin resah gelisah dengan situasi dan keadaan semasa yang membingungkan. Sebagai rakyat biasa tiada apa yang aku boleh lakukan untuk merubah kekalutan ini (walaupun alasan ini amat dibenci oleh Tun Dr M). Ketenangan tasik bumi Malaysia mula berkocak dek kerana tangan-tangan nakal yang membalingkan batu lalu menyembunyikan tangan. Pelbagai isu timbul, samada kecil atau besar dan kemudiannya dicanangkan sehingga prioriti untuk memajukan agama, bangsa dan negara semakin samar. Hari demi hari pelbagai pihak menuduh dan membela setiap isu yang timbul hinggakan rakyat mula jemu dan jelak dengan situasi ini. Pihak pembangkang kelihatan sudah `besar kepala` dan yakin dengan mandat yang di berikan pada PRU12 baru-baru ini. Semua perkara menjadi modal untuk dibangkitkan dan dipolitikkan. Apa yang lebih menyayat hati ialah tindakan segelintir dari mereka yang membelakangkan kepentingan bangsa dan agama untuk bersekongkol dengan `mereka-mereka` itu.
"Tiada yang lebih menyayat hati apabila ada orang Melayu yang membelakangkan kepentingan bangsa sendiri demi mengejar pangkat dan jawatan". Allahyarham Dato` Onn.
Pemimpin-pemimpin kita juga mula melatah dengan tindakan pihak-pihak tertentu yang menangguk di air yang keruh. Setiap isu yang ditimbulkan,pasti menjadi isu yang berlarutan beberapa minggu lamanya.
"Geseklah biola dengan lagu dan cara kita sendiri, janganlah biarkan orang lain menggesek biola dan kita hanya menari-nari mengikut lagu yang di mainkan oleh mereka". Allahyarham Dato` Onn.
Apakah punca yang membawa kepada semua ini? Apakah tiada terlintas di minda para cendiakawan tentang punca permasaalahan ini. Perlukah aku sebagai rakyat biasa menjelaskan apa yang menjadi punca dan adakah ianya akan membawa kesan.
Semakin aku memikirkan, semakin banyak persoalan yang timbul. Walau bagaimanapun aku akan cuba rungkaikan satu persatu berdasarkan pengamatan aku sebagai rakyat biasa. Rakyat biasa...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan