Isnin, 7 Julai 2008
Ubah Cara Hidup vs Cara Ubah Hidup
Agak kurang setuju bila mendengarkan saranan Pak Lah supaya rakyat mengubah cara hidup untuk berdepan krisis tenaga dan makanan kini. Walhal sebelum krisis ini bermula pun, rakyat bawahan telah berusaha meminimakan perbelanjaan mereka sebaik mungkin. Namun dengan kenaikan ini, mereka terpaksa memotong perbelanjaan yang mungkin melibatkan keperluan asas mereka. Sebagai contoh, susu bayi akan ditukar kepada susu yang lebih murah dan kurang berkhasiat, begitu juga dengan beras, lauk pauk, dan makanan-makanan ruji yang lain. Jika dahulu bolehlah jika hendak merasa makan roti bakar waktu pagi, namun kini mungkin tidak berpeluang lagi melainkan nasi goreng sahaja. Ini adalah pemerhatian ke atas anak-anak murid sebelum dan selepas kenaikan mendadak harga barangan. Murid-murid kini juga lebih ramai yang membawa bekalan sendiri ke sekolah berbanding duit belanja.
Di bandar, penduduknya berpeluang membanding harga untuk memaksimumkan nilai ringgit mereka, namun di kampung-kampung mereka tiada pilihan selain menerima seadanya kenaikan drastik barang yang begitu memeritkan. Terdapat beberapa situasi di kampung yang tidak langsung mendapat perhatian :
1. Situasi di mana orang-orang tua yang tidak berkemampuan ke bandar untuk membeli barang keperluan, hanya menanti penjaja harian yang membawa ikan dan sayur lalu di hadapan rumah mereka untuk menyuap nasi seharian. Penjaja ini sudah tentu menaikkan harga barangan mereka sejajar dengan kenaikan harga minyak, sedangkan sebelum itupun harga jualan mereka sudah melebihi 30% dari harga pasaran semasa.
2. Situasi di mana kawasan penempatan mereka nun jauh di pedalaman, atau sekurang-kurangnya 1 jam perjalanan menaiki kereta untuk ke pekan yang kecil. Kampung-kampung seperti ini masih wujud terutama di negeri Pahang, Kedah, Perak dan lain-lain. Harga barangan yang di jual di kampung mereka adalah sangat tinggi dan tidak selari dengan pendapatan mereka yang kecil. Adakah mereka ini mendapat perhatian pihak yang ditugaskan memantau harga barang? Sudah tentu tidak.
3. Situasi di mana pekerja-pekerja ladang yang menggunakan mesin untuk meracun, membajak dan sebagainya, tidak mendapat potongan bagi harga petrol dan diesel yang digunakan, malah lori-lori buruk yang bergerak di dalam ladang mereka juga sudah tentu tidak layak mendapat rebet tunai. Ini harus diberi perhatian kerana untuk memohon permit mengangkut, spesifikasi lori-lori mereka sudah tentu tidak menepati kehendak piawaian.
Demikianlah serba sedikit rentetan permasaalahan pihak minoriti yang tidak akan mendapat perhatian, dan mereka ini semakin hari semakin terhimpit oleh masalah yang gagal ditangani oleh kerajaan dengan sempurna. Mungkin kerajaan hanya memandang pihak yang berada di bandar, di pekan ataupun yang mampu bersuara apabila di tekan. Tetapi bagaimana pula orang-orang tua, orang-orang kampung dan orang-orang yang rendah tahap pendidikannya ingin menyalurkan permaasalahan mereka. Mahu tidak mahu golongan ini terus hidup dalam kedaifan, tidak terbela dan ibarat kais pagi makan petang, kais petang makan esok pagi.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan