Isnin, 7 Julai 2008

Ubah Cara Hidup vs Cara Ubah Hidup II


Baru-baru ini aku membawa keluargaku pulang ke kampong di Pahang. Walaupun cuma cuti hari minggu, tetapi inilah satu-satunya cuti mingguan yang boleh digunakan untuk pulang ke kampong. Alasan yang diberi oleh ibuku menyuruh untuk aku pulang ialah durian-durian di dusun telah mula gugur, walhal setibaku di sana cuma ada 2 biji sahaja yang baru gugur. Namun aku faham akan alasan yang diberikan adalah tidak lain dan tidak bukan kerana kerinduan yang amat sangat terhadap 2 orang cucunya. Seingatku baru 3 minggu lepas kami sekeluarga pulang ke kampong, namun reaksi dari atuk-atuk anakku seolah-olah kami telah tidak pulang selama setahun lamanya.

Namun apa yang ingin aku kongsikan disini bukanlah tahap kerinduan mereka, tetapi gaya hidup kini yang memaksa mungkin sebilangan dari kita yang akan berfikir panjang jika mahu pulang ke kampong.

Dahulu, sebelum kenaikan harga minyak, setangki penuh VIVA 1000CC isteriku adalah berharga RM 60. Cukup untuk kami pergi dan balik dari kampong serta menziarahi sanak saudara terdekat.
Kini, harga setangki penuh kereta yang sama telah menjadi RM 90 iaitu peningkatan sebanyak RM 30. Terlalu tinggi untuk diremehkan begitu sahaja. Sepanjang perjalanan, mataku sentiasa melirik kepada meter minyak, setiap takuk yang hilang begitu meruntun perasaan. Sungguh syahdu. Bagaimanakah agaknya perasaan orang lain yang kampong mereka lebih jauh dariku?

Masih lagi mengenai persepsi bahawa dengan kenaikan harga minyak ini, cara hidup perlu di ubah. Dimanakah kewajarannya kita mengubah cara hidup setiap kali harga minyak meningkat. Dahulu sekurang-kurangnya kami pulang ke kampong sekali sebulan. Selepas harga minyak naik, adakah perlu dikurangkan kepada sekali setiap 2 bulan? Bagaimanakah jika harga minyak meningkat lagi, seterusnya dan seterusnya? Jika persepsi ini dijadikan amalan, maka kepada siapakah lagi orang-orang tua di kampong ingin mengadu sakit demam? Itulah harga yang perlu di bayar oleh pihak yang menaikkan harga minyak dengan alasan tiada cara lain. Hubungan ibu dan anak di renggangkan, cucu tidak akan rapat lagi dengan atuk dan nenek mereka, orang-orang tua di kampung kesepian termenung di tangga setiap dinihari, dan sebagainya.

Seboleh-bolehnya aku menjauhkan diriku dari persepsi seperti ini. Jikalau boleh aku tidak mahu langsung impak kenaikan harga minyak ini menyebabkan aku mengubah cara hidup keluargaku terutama apabila melibatkan hubungan kekeluargaan kami yang mesra terjejas ataupun tercemar. Kita semua masih mempunyai pilihan, iaitu dengan mencari CARA UBAH HIDUP bagi membatasi persepsi UBAH CARA HIDUP ketika ini.

Tiada ulasan: