Rabu, 13 Februari 2008

Kelahiran Permata Hati yang tidak di jangka.

Di saat aku menaip blog ini, anak keduaku masih dirawat di wad Neonat ICU Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh. Baru sebentar tadi aku menghantar isteriku ke hospital untuk menemaninya memandangkan isteriku sudah boleh berdikit untuk bergerak. Di wad NICU cuma ibu sahaja yang dibenarkan menemani anak yang dirawat agar penyusuan badan dapat diberikan dengan sempurna. Dan disebelahku sedang tidur anak pertamaku sambil memeluk baju 'busuk' umminya. Ini hari yang kelima zakuan tidur tanpa ditemani umminya. Hari pertama dan kedua amat memenatkan, apabila zakuan mencari-cari umminya apabila mula mengantuk. Kadangkala zakuan menangis hingga sedu sampai ke pagi. Sungguh sayu hati melihatnya begitu.



Mengimbas kembali kelahiran yang tidak dijangka...

Cuti Tahun Baru Cina sangat dinanti oleh kami berdua. Pada mulanya kami bercadang hendak bercuti di Sabak Bernam kampung isteriku. Tetapi membatalkannya di saat-saat akhir di atas permintaan keluargaku di Pahang.
Aku bercuti awal sehari dari isteriku, maka menjadi kelazimannya aku akan menemani zakuan tanpa perlu menghantarnya ke babysitter. Hariku berjalan dengan indah melayani keletah zakuan yang semakin banyak kehendaknya. Merangkak kesana kemari, meniti ditepi perabot, memanjat bakul dan kerusi dan meminta itu dan ini.

Tapi hari itu tidak indah bagi isteriku...

Pulang sahaja dari sekolah, isteriku terus pergi ke klinik untuk pemeriksaan rutin ibu mengandung dan menunggu hampir 3 jam sehingga pemeriksaan itu selesai. Tiba sahaja di rumah, isteriku mula merungut tentang kegeramannya terhadap murid di sekolahnya. Bukan main lagi marahnya, sehingga menghempas-hempas buku ditangannya. Tidak pernah aku melihat isteriku sebegitu marah. Mana tidaknya, muridnya langsung tidak menjawab soalan ujian yang disediakannya sampai bersengkang mata. Kemudian apabila dimarahi, boleh pula memandang ke arah yang lain. Dan ada pula yang main sehingga terjatuh dari kerusi.

Perjalanan pulang...
Tepat jam 10 keesokkan harinya kami bertolak ke kampung. Di dalam kereta isteriku ada mengatakan dia keletihan dan perutnya mengeras. Tapi apabila aku bertanya semula, dia mengatakan itu cuma simptom biasa.

Maka perjalanan diteruskan...

Jam 1 kami sudah tiba di Triang 1. Eh, ada tetamu rupanya. Keluarga awek adikku menyinggah sementara bercuti di Tasek Bera. Di saat itu wajah isteriku semakin keletihan. Tetapi keriangan atuk, wan dan ahli keluargaku menyambut kepulangan zakuan menenggelamkan suasana.

Malam itu...

Rombongan memancing dari Tasek Bera pulang membawa tangkapan masing-masing. Ikan to man sebesar betis masih hidup didalam takungan. Rombongan tersebut mandi dan makan malam di rumahku. Kemudian mereka pulang dengan hati yang gembira. Tetapi tidak bagi zakuan. Kelenaannya tiba-tiba terganggu. Zakuan menangis tiba-tiba pada jam 12 malam. Tangisan yang luar biasa sehinggakan langsung tidak boleh dipujuk. Puas dibawa kesana kemari, bertukar-tukar tangan namun tangisannya semakin kuat.

Tiba-tiba...

"Epi, epi turun darah ke?", soalan mengejut dari ibu ku. Tapi tidak dihiraukan isteriku yang sibuk memujuk zakuan. "Yela pi,darah banyak kena kat tilam ni..". Aku memandang wajah isteriku dengan serius. "Tak boleh biarkan ni, lekas bawak epi ke klinik long", perintah ibuku kepadaku.

Sampai di klinik berdekatan rumahku, tangisan zakuan tiba-tiba berhenti. Ini memberiku peluang memapah isteriku ke bilik kecemasan dan seorang Nurse sedia menanti. Pemeriksaan tidak lama, Nurse mengarahkanku mengemas semua keperluan kerana isteriku perlu dihantar ke hospital secepat mungkin. Nasib ku baik kerana adik beradikku masih dirumah dah persediaan dapat dibuat dengan pantas.
Kereta VIVA isteriku meluru di jalan menuju ke Temerloh. Di dalam perjalanan, isteriku mula mengerang kesakitan. Nurse di sebelahnya, menggosok-gosok perutnya untuk menstabilkan emosinya. Perjalanan itu kurasakan lebih jauh berbanding biasa. Dengan fuel indicator yang berkelip-kelip minta diisi, semua itu tidak kuendahkan asalkan dapat tiba secepat mungkin.

Setibanya di hospital, isteriku terus disorong ke dewan bersalin, Sekali lagi isteriku di uji, bayi dalam kandungan berkedudukan melintang dan urinya berada di bawah. Doktor tidak mempunyai pilihan selain untuk membedah bagi menyelamatkan nyawa isteri dan bayiku. Surat kebenaran bedah di sain sendiri oleh isteri yang kesakitan. Serentak dengan itu, isteriku disorong ke dewan bedah di tingkat atas. Aku terpaksa menggunakan laluan orang awam dan tercari-cari di mana dewan bedah memandangkan hanya aku sahaja di situ pada jam 3.30 pagi. Sambil menunggu, aku berulang alik ke kereta melihat keadaan zakuan dan atuknya.

Jam 4.30 pagi
Terdengar sayup suara bayi menangis. Tidak lama kemudian seorang bayi comel di sorong di dalam inkubator melintas di hadapanku. Ya, itulah permata hatiku yang ke 2.
Sayang, aku tidak dapat menyentuh mahupun mengazankannya.

Isteriku diusung keluar kira-kira 30 minit kemudian. Tiada perkataan ingin aku luahkan selain mengucapkan syukur dan tersenyum ke arahnya. Walaupun tidak ditunjukkan namun di sudut hatiku sebenarnya terpancar kegembiraan dengan kurniaan Tuhan yang tidak ternilai. Nyawa anak dan isteriku dapat diselamatkan, bayiku pula sempurna fizikal dan luarannya.



Sesungguhnya aku bersyukur kepadaMu kerana kini keluargaku telah lengkap dan sempurna. Amin...

2 ulasan:

cikgu_is berkata...

Tahniahlah... tapi harap-harap next year tak ade baby yang ke 3, sabar-sabarlah dulu... Abang ko ni, yang dah kawin 7 tahun pun baru 2 org anak.

~Norul Mas Hana ~ berkata...

awien...tahniah...dah ada 2 org permata hati..aku kena kejar ni..hehe..