Salam Aidilfitri..
Aku baru sahaja selesai melayan anak-anak bermain bunga api.
Sambil itu bersembang dengan jiran lama dan 'baru'. Topik sembang semestinya tentang sambutan Hari Raya masing-masing dan pembunuhan Datuk Sosilawati. Erm..satu pembunuhan yang diluar jangkaan manusia normal yang tinggal di Malaysia. Mungkin ini merupakan kes pembunuhan berprofil tinggi bersiri paling gempar di Asia malah mungkin di dunia tahun 2010.
Walaubagaimanapun, pemikiran ku lebih tertumpu pada sesuatu. Iaitu projek yang akan aku gerakkan secara bersendirian dengan sokongan beberapa individu yang berpengalaman. Kemana-mana aku pergi mahupun beraya, pemikiranku ligat mencongak strategi untuk melaksanakan projek tersebut. Namun masih bukan masanya untuk aku umumkan disini. Insyaallah dalam sebulan dua setelah segalanya mula beroperasi.
Kini, aku telah menapak dalam beberapa bidang yang berbeza, dan pengalaman yang didapati sepanjang perjalanan itu akan aku gunakan sebaik mungkin dalam menjayakan projek ini. Aku sendiri mengharapkan agar diriku tabah dan tekun dalam menghadapi cubaan dan dugaan kerana ini merupakan projek dimana aku menduga kebolehan diri sendiri tanpa sesiapa.