Sabtu, 31 Januari 2009

Bingit PPSMI

PPSMI di sekolah cikgu berjalan dengan agak perlahan walaupun sesudah 7 tahun berlalu. Bagi kelas teratas, PPSMI dapat dijalankan 75%, diikuti 50%, 30% dan 10% untuk kelas yang dihujung. Ini sesuai dengan status sekolah cikgu iaitu sekolah luar bandar. Baru sebentar tadi satu perhimpunan diadakan oleh pihak GMP menggesa tindakbalas segera kerajaan tentang isu PPSMI. Alasan yang diberikan oleh para penganalisis di UKM ialah ianya tidak kompetitif dan tidak sesuai dijalankan sekarang. Persoalannya, jika tidak sesuai bilakah waktu dan ketika yang dirasakan sesuai? Kerajaan telah berhabis berbilion ringgit menyediakan modul, kursus, perisian dan sebagainya untuk memastikan PPSMI berjalan lancar. Dan jika kini dibatalkan perbelanjaan berbilion juga perlu bagi mengubah keseluruhan sistem dan jika tiba masa yang dirasakan sesuai kerajaan akan berbelanja lagi untuk melaksanakannya semula. Ia tidak ubah seperti cycle of waste.

Jadi untuk memuaskan hati semua pihak, jalan tengah terpaksa diambil. Jika dihapuskan akan ada pihak yang mengondem dan jika tidak dihapuskan ia akan memekakkan telinga dari semasa ke semasa. Jalan tengah yang dimaksudkan bukan kredibiliti cikgu untuk tentukan. Cikgu hanya yang menurut perintah dan belum tiba masanya lagi memberi perintah. Cuma cikgu dan sudah pasti ramai lagi sudah bingit dengan isu ini. Cukuplah...

Isnin, 12 Januari 2009

MA'AL HIJRAH 1430

Semoga dengan kehadiran tahun baru ini, maka bertambahlah ketaqwaan kita kepada yang maha Esa, InsyaAllah.

MUHARAM adalah bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah). Sebelum Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Yathrib, kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi. Hijrah Rasulullah memberi kesan besar kepada Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri.

Pada asasnya, Muharam membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91). Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan.

.
Peristiwa-peristiwa penting:

1 Muharam - Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah.

10 Muharam - Dinamakan juga hari 'Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran.

Pada 10 Muharam juga telah berlaku:

Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
Hari pertama Allah menciptakan alam.
Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
Hari pertama Allah menurunkan hujan.
Allah menjadikan 'Arasy.
Allah menjadikan Luh Mahfuz.
Allah menjadikan alam.
Allah menjadikan Malaikat Jibril.
Nabi Isa diangkat ke langit.