Ahad, 23 November 2008

Katak oh katak


Cuti sekolah sedang berlangsung. Kira-kira seminggu bercuti, hati sudah mula rasa bosan dan bercelaru. Mana tidaknya, kebiasaannya sibuk tiba-tiba terus tiada apa nak dibuat. Ibarat gelas air panas yang terus diletakkan ke dalam peti sejuk. Namun aku cuba menyibukkan diri dengan perkara-perkara picisan dan kadangkala muncul di sekolah. Hinggakan ada yang menegurku "tak reti-reti balik kampung ke cikgu?". Agak-agaknya apalah yang hendak dibuat di kampung selama 7 minggu bercuti sedangkan di rumah sendiri pun tercari-cari perkara yang hendak dibuat.

Namun kini lain pula yang terjadi. Kepulangan aku ke kampung terpaksa ditunda kerana sibuk menguruskan perkara 'picisan' tadi. Rupa-rupanya banyak perkara yang boleh dibuat jika kita memberikan ruang kepada itu semua. Salah satunya ialah usaha menambahkan pendapatan sendiri. Tetapi tidak perlulah rasanya diulas disini. Cukuplah sekadar kita mengetahui perkara tersebut terlalu banyak dan mengetuk-ngetuk pintu rezeki kita.

Apa yang ingin dikongsikan disini bukanlah tentang cara menambahkan pendapatan. tetapi tentang sikap kita yang boleh disamakan dengan perangai katak oh katak.

Situasi 1
Seekor katak diletakkan didalam suatu bekas yang terbuka penutupnya. Maka sudah tentu dengan mudahnya si katak melompat keluar. Apabila dimasukkan kembali, sekali lagi si katak melompat keluar dengan yakinnya.
Kali ini si katak dimasukkan semula kedalam bekas dan kemudiannya bekas itu ditutup. Kelihatan si katak melompat-lompat di dalam bekas untuk keluar, dan setiap kali melompat, kepalanya akan terhantuk pada penutup bekas.
Setelah agak lama melompat dan tidak berjaya keluar, si katak pun berhenti melompat. Diamlah si katak tanpa berbuat apa-apa.
Kemudiannya penutup bekas itu kembali di buka. Adakah si katak akan terus melompat keluar? Jawapannya adalah tidak sama sekali. Si katak terus berdiam diri sehingga dia dikeluarkan dari bekas tersebut.

Situasi 2
Seekor katak dicampakkan ke dalam bikar berisi air yang agak panas untuk melihat reaksinya. Dengan tergopoh gapah si katak melompat keluar dari bikar. Apabila dicampakkan lagi, kali ini lebih cepat ia keluar.
Kali ini si katak dimasukkan kedalam bikar berisi ais dibawahnya dan kasa dawai ditengahnya untuk si katak 'berehat. Bikar dibiarkan terbuka. Apakah reaksi si katak? Si katak begitu senang hati dan tidak melompat kemana-mana. Si katak begitu selesa dan enggan keluar dari bikar.
Kemudiannya sebuah penunu bunsen diletakkan di bawah bikar dan dinyalakan dengan nyalaan kecil. Apakah yang terjadi? semakin lama ais didalam bikar semakin mencair dan lama kelamaan ais itu bertukar menjadi air sepenuhnya. Air itu terus dipanaskan sehinggalah hampir mendidih. Apakah yang terjadi pada katak?Perkara menakjubkan terjadi iaitu si katak terus berada didalam bekas tanpa bergerak kemana-mana sedangkan mulut bikar itu terbuka dengan luas. Sehinggalah pada suatu ketika bilamana air tersebut mendidih, barulah si katak ingin keluar, tetapi segalanya sudah terlambat...

Apakah pengajaran yang boleh didapati dari cerita ringkas diatas? Dalam situasi 1 kita boleh samakan sikap si katak dengan segelintir dari kita (termasuk diri ini). Kita mempunyai keupayaan untuk keluar dari belenggu hidup. Namun apabila mencuba dan kerapkali gagal, kita mula berputus asa dan redha sahaja apa yang akan terjadi kepada diri. Dan apabila pintu peluang sudah terbuka luas, kita sudah tidak mahu mencuba dan biarkan semuanya berlalu.

Situasi 2 pula menggambarkan sikap kita yang mudah selesa dengan apa yang ada sekarang. Jika dulu gaji kita RM 2ribu dan kita rasakan sudah cukup untuk menampung kehidupan dan kini dengan gaji yang sedemikian juga kita berusaha mencukupkannya. Sedangkan hakikatnya kita semakin terhimpit dengan kenaikan harga barangan, tanggungan dan lain-lain lagi. Kita masih berasa selesa sehinggalah tiba keadaan yang amat mendesak dan sudah terlambat untuk berubah.

Aku sering bersembang dengan abang-abang yang sudah lama berkhidmat dalam sektor awam dan menghampiri usia pencen wajib. Soalan yang biasa aku ajukan ialah apakah yang ingin dilakukan selepas berpencen? Kebanyakkan jawapan yang aku dapati ialah kerisauan mereka tentang gaji yang akan tinggal separuh dengan tanggungan yang masih banyak. Maka timbullah idea mereka untuk menjadi Security Guard, menjadi pemandu teksi dan tidak kurang yang ingin pulang ke kampung menoreh getah. Persoalannya, apakah yang bermain difikiran mereka selama lebih 30 tahun bekerja dulu? Tiada sebarang perancangankah ataupun tiada sebarang peluangkah yang melintas dihadapan mereka? Itulah yang seboleh-bolehnya aku ingin elakkan. Dan aku doakan yang terbaik untuk mereka semua. Aminnn...

"How to Boil a Frog" parable as metaphor for the introduction and deployment of new software applications, and services. In case you're not familiar with the parable, Wikipedia explains it this way: "The boiling frog theory states that a frog can be boiled alive if the water is heated slowly enough. It sounds easier said than done, but it suggests that if a frog is placed in boiling water, it will jump out. However, if it is placed in cold water, and then heated slowly, it won't."

1 ulasan:

mohd zul hifdzi berkata...

salam,
sekadar teori ke cite betul pasal katak ni?

lama tak update..selalu-selalu la update..kan pasang broadband, senang nak online bila2 masa je.