Sabtu, 1 November 2008

5 weeks non stop!

Malam tadi cikgu singgah sebentar di pusat ko-kurikulum SMK Dato Bentara Dalam, Segamat. Walaupun tidak lama, tetapi sempat jugalah mengadili persembahan mereka sempena Perkhemahan Gabungan Unit Beruniform Peringkat Daerah Segamat. Erm, kira-kira 200 murid sekolah rendah sekitar Segamat terlibat. Hajat dihati ingin bermalam sekali bersama peserta, tetapi apakan daya cikgu mempunyai tetamu di rumah. Terpaksalah cikgu membatalkan hasrat murni cikgu itu.

Melihat kepada persembahan mereka, cikgu berasa bangga kerana dengan waktu latihan yang terhad, para peserta masih mampu mempersembahkan sketsa dan nyanyian yang baik. Selarilah dengan tahap mereka yang rata-ratanya hanya dari darjah 5 sahaja.

Tetapi apa yang ingin cikgu kongsikan disini ialah mengenai kegigihan petugas kem ini terutamanya Kem Komandannya. Menurut beliau sudah hampir 5 minggu hari minggu beliau digunakan untuk menjadi Kem Komandan di kem ini. Ini bermakna beliau tidak berehat walaupun sehari dalam sebulan dari tugasan beliau. Ketika hari biasa beliau bertugas seperti biasa sebagai guru di Sekolah Paya Besar. Dan ketika hari minggu beliau terlibat pula dengan aktiviti ko-kurikuluman. Segalanya dilakukan tanpa ada imbuhan tambahan ataupun elaun khas.

Ini menyebabkan cikgu mencermin diri sendiri dimana cikgu sebelum ini sudah ingin memprotes mengenai aktiviti cikgu yang padat sepanjang bulan ini. Rupa-rupanya ada insan lain yang lebih gigih berusaha untuk anak bangsanya. Mungkin Tuhan ingin tunjukkan kepada cikgu bahawa apa yang cikgu curahkan selama ini amat sedikit berbanding insan lain. Sungguh memberikan kesedaran...

Tiada ulasan: