Jumaat, 15 Mei 2009

Ambang Sambutan Hari Guru 2009

Sejak 2 minggu yang lepas sekolah cikgu telah mula membuat persiapan untuk merayakan Sambutan Hari Guru 2009 peringkat sekolah. Murid-murid telah mula melakukan latihan untuk persembahan manakala guru-guru mula merangka aktiviti untuk dipertandingkan. Banyak acara yang biasa diadakan pada tahun sebelum ini terpaksa diubah dengan aktiviti yang lain memandangkan padang sekolah yang ditutup untuk memberi laluan kepada pembinaan 2 blok bangunan baru. Jadi secara tidak langsung cikgu hanya terlibat dengan pengelolaan pertandingan boling dan persiapan dewan.
Berbanding tahun lepas cikgu terlibat mengelolakan pertandingan futsal, bola jaring dan permainan boling. Ada juga dalam perancangan cikgu untuk mengelolakan perlawanan persahabatan badminton dan bola tampar dengan cikgu dari sekolah berdekatan. Namun kesibukan guru-guru tersebut menyebabkan perancangan bersama ini terpaksa ditunda untuk sementara waktu.
Cikgu mula disapa oleh murid-murid yang bertanyakan hadiah yang cikgu inginkan sempena hari guru nanti. Risau cikgu melihatkan kesungguhan mereka untuk memberi hadiah kepada guru kesayangan masing-masing. Cikgu hanya mampu berpesan agar mereka tidak mendesak ibu atau bapa masing-masing membeli hadiah. Cukuplah sekadar kad ucapan buatan sendiri ataupun ucapan ringkas ikhlas sahaja. Ini kerana rata-rata murid di sekolah cikgu datangnya dari keluarga yang sederhana.
Jadi bersempena dengan hari guru yang bakal tiba, cikgu mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua pendidik dan tidak dilupakan guru-guru yang pernah mendidik cikgu sejak dari TADIKA, SK, St John Ints, ASBKL, MRSM,KMK, USM dan MPRM. Terima kasih cikgu...

Tiada ulasan: